Saturday, September 23, 2006

Ramai askar AS terbunuh berbanding korban 9/11

WASHINGTON 23 Sept. – Bilangan kematian tentera Amerika Syarikat
(AS) di Iraq dan Afghanistan kini telah mengatasi angka korban dalam
serangan 11 September 2001.

Detik itu berlalu semalam tanpa sebarang publisiti dan tanpa
mengetahui siapa sebenarnya askar ke-2,974 yang terbunuh dalam
konflik di kedua-dua negara.

Serangan berani mati di New York, Washington dan Pennsylvania pada
tarikh tersebut itu telah meragut 2,973 nyawa.

Menurut pengiraan Associated Press (AP), angka kematian AS di Iraq
meningkat kepada 2,696 semalam.

Dicampur dengan 278 kematian askar AS di Afghanistan dan kawasan
sekitarnya, angka korban tragedi 11 September itu kemudian dipintas
pada hari yang sama.

Pentagon semalam melaporkan kematian terbaru di Iraq melibatkan
seorang askar yang belum dikenali selepas kenderaannya melanggar bom
tepi jalan di timur Baghdad kelmarin.

Bukan untuk kali pertama, perang yang dilancarkan untuk membalas
serangan telah meragut banyak nyawa iaitu kematian yang sama banyak
atau lebih banyak bagi negara yang mula-mula diserang.

Korban itu tidak mengambil kira kematian yang lebih besar di pihak
musuh dan penduduk awam.

Pentagon melaporkan 56 kematian anggota tentera dan satu kematian
kakitangan awam Jabatan Pertahanan di bahagian lain dunia akibat
Operasi Enduring Freedom, iaitu perang antikeganasan yang terpisah
daripada Iraq.

Semua sekali, 3,030 rakyat AS terbunuh di luar negara sejak 11
September 2001.

Kematian penduduk awam di Iraq pula mencapai paras tertinggi pada
musim panas – pada Julai dan Ogos lalu sahaja, 6,599 orang awam
terkorban dalam keganasan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) pada minggu ini.

– AP

No comments:

Template Designed by Douglas Bowman - Updated to New Blogger by: Blogger Team
Modified for 3-Column Layout by Hoctro