Info Kesihatan : Lima Tanda Sakit Jantung
PEMERGIAN pelakon dan pengacara terkenal, Hani Mohsin Hanafi, 41,
akibat serangan jantung memberi kejutan dan seharusnya dijadikan
iktibar kepada kita semua, khususnya yang mempunyai sejarah keluarga
menghidap sakit jantung.
Ramai terkejut kerana beliau meninggal dunia pada usia muda. Malah,
rakan artis yang rapat dengannya juga tidak tahu arwah ada masalah
jantung. Sebenarnya inilah perkara biasa berlaku kepada mangsa
serangan jantung lain.
Walaupun ramai beranggapan sakit jantung tiada simptom, tetapi
menurut Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM), Dr Chong Wei Peng, ada lima tanda yang perlu diperhatikan.
Katanya, FACES adalah cara mudah untuk mengenali tahap kesihatan
diri. Walaupun ia bukan penunjuk tepat kepada masalah jantung,
tetapi jika semua ciri umum ini ada pada kita, bermakna kita perlu
bimbang terhadap tahap kesihatan diri.
Semua tanda (lihat carta di bawah) mudah dikesan. Yang diperlukan
hanya kepekaan terhadap perubahan diri kerana penjagaan kesihatan
adalah tanggungjawab kita. Jika ada beberapa tanda, segera menjalani
pemeriksaan kerana walaupun bukan disebabkan masalah jantung, ia
mungkin menjadi petanda kepada penyakit lain.
"Penyakit jantung tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia mengambil masa
bertahun-tahun untuk terbentuk secara tidak disedari. Sakit jantung
adalah satu penyakit yang mempunyai spektrum luas kerana ia berkait
dengan masalah lain seperti tekanan darah tinggi, aterotrombosis dan
kegagalan jantung.
"Namun, paling penting ialah mengawal tekanan darah kerana tekanan
tinggi menandakan jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam
darah ke seluruh badan. Apabila jantung dipaksa bekerja lebih kuat
daripada sepatutnya, ia menjadi besar dan kurang cekap, akhirnya
menyebabkan kegagalan jantung," katanya.
Perunding Kardiologi UMMC, Profesor Dr Haizal Haron Kamar, pula
berkata penyakit jantung atau kardiovaskular adalah pembunuh utama
penduduk di negara ini dan jumlah pesakit tidak pernah berkurang
sejak dua dekad lalu.
Berdasarkan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2004,
sembilan peratus daripada kemasukan pesakit ke semua hospital adalah
disebabkan masalah kegagalan jantung dan edaran darah.
Apabila disebut mengenai sakit jantung, rasanya semua orang tahu.
Namun, kata Dr Haizal, masih ramai tidak memberi perhatian kepada
penyakit ini, termasuk faktor risiko. Malah, masih ramai juga tidak
tahu mengenai atherotrombosis yang menyebabkan 28 peratus kematian —
jauh lebih tinggi berbanding kanser dan penyakit berjangkit lain.
Masalah tersembunyi
Aterotrombosis berlaku apabila darah membeku di atas plak (lapisan
lemak di dinding salur darah) pecah. Darah beku ini akan membuat
lapisan di atas plak tadi. Pembentukan darah beku secara berterusan
boleh menghalang aliran darah. Apabila aliran darah tersekat, ia
menyebabkan serangan jantung (jika berlaku pada salur darah ke
jantung) atau strok (jika saluran darah ke otak terhalang).
Dr Haizal berkata, faktor ini menjadi masalah asas kepada strok
iskemia (aliran darah yang tidak mencukupi ke otak), serangan
jantung, serangan iskemia, sindrom koronari akut dan kerosakan
pembuluh darah.
Ini sebabnya setiap orang perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan
mengelak semua faktor risiko yang boleh menyebabkan penyakit
jantung. Hanya ada empat faktor risiko yang tidak boleh diubah iaitu
jantina (lelaki), peningkatan umur, bangsa dan sejarah keluarga
mendapat sakit jantung.
Manakala faktor risiko seperti senarai di bawah boleh diubah dan
dikawal iaitu:
Kencing manis.
Paras kolesterol tinggi.
Tekanan darah tinggi.
Kurang aktiviti fizikal dan bersenam.
Masalah berat badan berlebihan dan obesiti.
Pemakanan tidak seimbang.
Merokok.
Pensyarah dan Perunding Kardiologi PPUM, Dr Nik Halmey Nik Zainal
Abidin, berkata gejala seperti hidung sering berdarah dan sakit
kepala adalah petanda tekanan darah terlalu tinggi. Bagaimanapun,
jika tekanan tidak terlalu tinggi (tetapi melebihi tahap normal
iaitu kurang 140/85 mmHg) ia tidak mempunyai gejala.
Ini sebabnya ramai tidak sedar mereka sebenarnya menghidap tekanan
darah tinggi. Jika tidak dikawal ia boleh menyebabkan kerosakan pada
buah pinggang, mata dan otak. Penurunan sebanyak dua mmHg membawa
banyak manfaat kepada pesakit kerana ia dapat mengurangkan tujuh
peratus kematian.
"Kira-kira 24 peratus rakyat Malaysia berusia 30 tahun ke atas
mengalami masalah tekanan darah tinggi, tetapi hanya 18 peratus
mendapatkan rawatan dan mengawal tekanan darah mereka. Manakala 13
peratus mengambil ubat tetapi tekanan darah tidak terkawal dan 53
peratus lagi tidak tahu mereka ada masalah ini," katanya.
Cara mudah untuk mengawal tekanan darah ialah menjaga pemakanan
dengan mengurangkan pengambilan garam (hanya satu camca teh sehari)
dan bersenam.
Bagaimanapun, bukan mudah untuk menjaga pemakanan di negara yang
mewah dengan sajian enak ini, tetapi semuanya perlu dilakukan demi
kesejahteraan diri.
Lima tanda untuk diperhatikan
Kelesuan (F).
Aktiviti menjadi terhad (A).
Dada terasa sesak (C).
Buku lali bengkak atau edema (E).
Sesak nafas (S).
Saturday, September 23, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment